Sebenarnya Lin sendiri pun tidak berapa suka untuk bercakap berlebih-lebihan mengenai orang yang sudah meninggal dunia.
Tetapi ini adalah tanggungjawab Lin untuk menguruskan laman sesawang Adi Firansyah.Com
Tetapi baru-baru ini timbul pula isu anak luar nikah Arwah Adi Firansyah bersama dengan Mayangsari iaitu Khirani Siti Hartina Trihatmodjo.
Lin akan cuba mengkaji dengan lebih lanjut mengenai isu ini dalam waktu terdekat kerana Lin sekarang ini amat kesuntukan masa.
Kepada Ahli Adi Firansyah.Com yang lain, sila berinteraksi bersama saya mengenai isu ini melalui e-mel ok!
Senarai Ahli Adi Firansyah.Com:
- Mohd Afiq
- Lokeman Shah
- Bedah 38
- Irsyah
- Julia
- Priscilla
- Ann Shizlee
May 16th, 2008
Kategori: Adi Firansyah.Com Daripada Lin

Siapa kata pelajar Melayu merupakan pelajar yang sentiasa ketinggalan berbanding pelajar daripada kaum lain?
Di Malaysia sejak kebelakangan ini pelajar yang berjaya memperoleh pencapaian tertinggi dalam peperiksaan awam seperti SPM adalah milik pelajar Melayu.
Pelajar Melayu di Singapura juga tidak ketinggalan apabila adik Natasha Nabila Muhammad Nasir muncul sebagai pelajar terbaik dalam sejarah Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah Singapura dengan agregat 294 menewaskan pencapaian yang pernah diperoleh oleh seorang pelajar Cina, Justin Lau dengan agregat 288 kira-kira 17 tahun yang lalu.
Tahniah kepada semua pelajar Melayu yang berusaha bersungguh-sungguh dalam pendidikan!
Tidak mustahil suatu hari nanti, orang Melayu dapat mengembalikan semula kegemilangan yang pernah dicapai beratus tahun yang lalu.
- Top PSLE student attains highest score in 17 years
- Top PSLE student says love for reading helped her excel in studies
- Top PSLE student sets new record with 294 score
- Top PSLE student from Rosyth School, 97.8% of students eligible for secondary school
- 97.7% of PSLE students qualify for secondary school after good results
May 15th, 2008
Kategori: Melayu Daripada Lin

Sejak kebelakangan ini, heboh diperkatakan mengenai cubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim berusaha mati-matian untuk mendirikan kerajaan Malaysia yang baru.
Pelbagai tindakan telah dan sedang diambil beliau untuk memastikan impian beliau tercapai termasuklah dengan merasuah Yang Berhormat daripada parti pemerintah Barisan Nasional.
Lin sentiasa berdoa supaya beliau tidak berjaya mencapai apa yang beliau impikan kerana bagi Lin, impian beliau ialah “impian yang memusnahkan” (destructive dream).
Lin sebagai salah seorang rakyat Malaysia yang prihatin, berdoa dan berharap, negara Malaysia yang tercinta ini dapat terus aman dan makmur dibawah pemerintahan sedia ada. AMIN.
“Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah (kebenarannya) dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. (Al-Hujurat: 6)
May 15th, 2008
Kategori: Politik Daripada Lin
Lin terjumpa sebuah laman sesawang yang mungkin menarik perhatian anda yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai negara sekular Turki.
Turki Negara Sekular
May 15th, 2008
Kategori: Laman Sesawang Daripada Lin
Mukadimah:
MENTERI Mentor Singapura, Lee Kuan Yew telah mencetuskan kontroversi apabila berkata masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia cuba dipinggirkan secara bersistematik. Bekas Perdana Menteri negara republik itu membuat kenyataan tersebut dalam satu majlis forum yang diadakan sempena Mesyuarat Bank Dunia-Dana Kewangan Antarabangsa di negara pulau itu baru-baru ini. Tindakan Kuan Yew mencetuskan kemarahan di kalangan para pemimpin di Malaysia dan Indonesia yang menyifatkan komen yang dibuatnya itu umpama menghasut masyarakat Cina di kedua-dua negara jiran republik tersebut. Tindakan itu dilihat sebagai satu cubaan mencampuri urusan dalam sesebuah negara lain dan disifatkan sebagai bertentangan dengan semangat yang diamalkan oleh negara-negara ASEAN.
Namun bagi Prof. Mohammed Yacob, 89, bekas setiausaha politik kepada Ketua Menteri Singapura yang kedua, Lim Yew Hock, pemimpin negara pulau itu (Kuan Yew) telah meminggirkan masyarakat Melayu secara bersistematik sejak tahun 1959 lagi apabila Parti Tindakan Rakyat memerintah pulau itu. Wartawan Mingguan Malaysia, Zaharuddin Mohd. Ali dan Mohd. Fairuz Yusof serta jurugambar, Ishak Rahmad telah menemui Prof. Mohammed Yacob untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai kenyataan Kuan Yew itu.Prof. Mohammed yang kini menetap di Johor Bahru menyifatkan kaedah pemerintahan di Singapura sejak Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengambil alih pemerintahan di republik itu menyebabkan orang Melayu di republik itu tidak berani bersuara dan tidak dapat mencari rezeki di tanah air sendiri. Menurutnya, ini berlaku kerana undang-undang yang dibuat menjadikan mereka ‘terikat’… mengakibatkan apa juga tindakan yang mahu dilakukan menjadi terbatas ekoran rancangan licik Kuan Yew.
MINGGUAN: Pada pandangan Prof. apakah kesan langsung terhadap masyarakat Melayu Singapura hari ini akibat tindakan pemerintah republik itu meminggirkan masyarakat Melayu
PROF. MOHAMMED YACOB: Apa yang saya akan katakan mungkin kasar bunyinya, takut pula nanti (awak) terlajak tulis, tetapi saya berani katakan masyarakat Melayu di Singapura tidak berani.
Mereka bimbang rezeki mereka disekat jika bersuara. Umpamanya pendapatan mereka berbanding masyarakat Melayu di Malaysia. Contohnya secara purata mereka mendapat gaji S$2,000 dan dengan gaji sebanyak itu berbanding mata wang Malaysia tentulah mereka boleh hidup mewah.
Sebab itulah kebanyakan warga Singapura memasuki negeri ini (Johor) kerana mereka mahu berbelanja di sini. Cuma bezanya nilai mata wang mereka tinggi berbanding ringgit Malaysia.
Faktor pendapatan ini menyebabkan mereka selesa dan enggan mencari masalah… datang ke Malaysia membeli-belah kerana semua barangan yang dijual di sini murah berbanding negara sendiri.
MINGGUAN: Apa komen Prof. mengenai tuduhan kononnya masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan oleh pemerintah mereka?
PROF. MOHAMMED YACOB: Mengenai tuduhan Malaysia menjadikan orang-orang Cina di sini ‘pak turut’ sebenarnya Kuan Yew juga telah menjadikan orang Melayu Singapura ‘pak turut’.
Pemimpin Melayu di republik itu takut. Saya tahu kerana saya dibesarkan di Singapura selama 60 tahun. Selepas itu dipaksa balik kerana ada orang memaklumkan kepada saya supaya kembali ke Malaysia kerana kawan-kawan saya kena tangkap. Antaranya, Dr. Jali Muin dan Kapten Mat Said. Abdullah Bachumi pula melarikan diri.
Satu mesyuarat jawatankuasa bertindak orang Melayu yang dianggotai oleh 25 orang diadakan di Pasir Panjang dan saya salah seorang ahli jawatankuasa itu. Selepas mesyuarat itu, Dr. Jali dan Kapten Mat Said ditangkap dan ditahan selama dua tahun. Selepas dibebaskan, mereka jadi ‘orang baik’.
Akibatnya orang Melayu menjadi ‘pak turut’ dan tidak boleh bersuara. Tetapi mereka (pemerintah) pandai dan dalam aspek-aspek tertentu dia (pemerintah) mahu Melayu maju hanya berdasarkan kuota.
Dulu sebelum PAP berkuasa, terdapat perkampungan Melayu di Singapura. Kerajaan Perikatan (sebelum berpisah daripada Malaysia) ada wartakan dalam perlembagaan mengenai penempatan orang Melayu.
Semua masyarakat Melayu berkumpul di sana. Jadi apabila PAP berkuasa, mereka ubah perlembagaan. Pemerintah ambil tanah orang Melayu dan digantikan dengan wang pampasan.
Jadi orang Melayu diberi (tempat tinggal) rumah pangsa. Dengan itu (secara halus) kekuatan Melayu terhakis. Pemerintah melakukan ini secara terang-terang. Ketika itu orang Melayu tidak sedar… tetapi jika ada yang sedar sekalipun mereka tidak berani bersuara.
Masa itu saya bergerak tetapi secara tidak bersuara… saya kena berhati-hati… saya juga menyertai politik Singapura selama 60 tahun. Saya sertai kesatuan sekerja di Singapura ketika itu bersama-sama Lee Hsien Seong.
MINGGUAN: Adakah sebarang bentuk ancaman yang dilakukan oleh pemerintah Singapura terhadap orang Melayu
PROF. MOHAMMED YACOB: Pemerintah (Singapura) bukan mengancam tetapi menggunakan taktik ‘brain wash’ atas nama ingin melakukan sesuatu kebaikan kepada orang Melayu… umpamanya dengan memodenkan kampung-kampung tersebut.
Hakikatnya, jika kampung-kampung orang Melayu dimodenkan, wakil-wakil pemimpin Melayu ini akan kehilangan kuasa.
Selepas itu, kedudukan orang Melayu di kampung-kampung ini akan dipecah-pecahkan berdasarkan kuota.
Ketika itu, dalam sesebuah kawasan penempatan baru yang diwujudkan, 72 peratus diberikan kepada kaum Cina, 16 peratus kepada masyarakat Melayu manakala 12 peratus untuk kaum India dan lain- lain.
Keadaan ini dengan sendirinya mengakibatkan orang Melayu hilang kuasa (khususnya ketika pilihan raya) kerana tidak akan berupaya memperoleh sebarang majoriti.
Pemerintah akan memujuk orang Melayu dengan mengatakan penempatan baru yang mereka sediakan lebih baik, bersih dan sebagainya.
Pemerintah juga membuat peraturan dan mewujudkan sekolah di kawasan penempatan baru itu, dan berusaha ‘memuaskan hati’ penduduk kawasan itu.
MINGGUAN: Apakah bentuk bantahan yang dibuat oleh orang Melayu kepada pemerintah ketika itu?
PROF. MOHAMMED YACOB: Mereka tidak boleh protes. Pada mulanya orang Melayu gunakan cara lembut dengan mengutus surat dan meminta sesuatu kepada pemerintah. Bila adakan mesyuarat mereka kata baik-baik tetapi semua permintaan yang dibuat ditolak.
Yang jadi masalah kepada Singapura dan dianggap penghalang kepada kemajuan negara (ketika itu) ialah orang Melayu.
Rusuhan di Singapura pada tahun 1964, mereka mendakwa UMNO menjadi dalang. Saya ada dalam jawatankuasa bertindak Melayu dan saya nampak semua itu.
Kalau saya ke depan dan bersuara… saya akan ditahan dan dipenjarakan… dikenakan tindakan di bawah Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
MINGGUAN: Pada pandangan Prof. bagaimana dengan pencapaian orang Melayu di Singapura sekarang?
PROF. MOHAMMED YACOB: Sekarang sudah ada orang Melayu menceburi bidang perniagaan. Pemerintah beri peluang kepada orang Melayu supaya belajar dan pekerjaan dalam bidang tertentu.
Jadi orang-orang ini diberi biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Tetapi persoalannya berapa ramai yang diberi peluang untuk menyambung pengajian? Dan apabila mereka balik ke negara, mereka ini akan berterima kasih kepada kerajaan. Mereka ini pula akan dilantik memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Malah ada yang dipilih menyertai politik untuk menyokong pemerintah.
Dalam soal pendidikan, berapa ramai orang Melayu yang lulus dan jadi peguam atau doktor? Pemerintah ada kuota. Sebagai contoh, kalau di universiti, mata pelajarannya banyak… kalau 100 orang diambil, 72 orang adalah kaum Cina, 16 Melayu dan 12 India.
Jadi 16 (budak) Melayu ini kalau nak minta jadi peguam… mereka tidak akan diterima walaupun lulus. Banyak Melayu akan dihantar menjadi guru.
MINGGUAN: Apa pandangan Prof. tentang pertubuhan Melayu di Singapura sama ada mereka benar-benar ada peranan untuk masyarakat Melayu pada masa ini.
PROF. MOHAMMED YACOB: Para pemimpin pertubuhan Melayu di Singapura sekarang ini hanya menjaga kepentingan persatuan masing-masing.
Kalau menentang sahaja mereka ini akan dikenakan tindakan. Pemerintah akan panggil dan tahan. Mereka ini (pemimpin-pemimpin pertubuhan) akan di ‘brain wash’. Apabila keluar sahaja dari tempat ditahan ini, mereka akan melepaskan jawatan yang disandang.
Saya sendiri pada tahun 1969 mempunyai persatuan rakyat. Jadi ketika itu di kampung-kampung Melayu ada wakil-wakil PAP. Ada kerjasama antara orang Melayu dengan PAP.
Nama saya dimasukkan (ke dalam persatuan itu) tetapi hanya bertahan selama enam bulan dan kemudian dikeluarkan kerana mereka bimbang saya akan timbulkan penentangan.
Pemerintah ada berkata, mana-mana ahli baru yang tidak bersetuju dengan pemerintah akan dihapuskan dengan matlamat kononnya untuk membangunkan negara.
MINGGUAN: Apakah bentuk diskriminasi terhadap orang Melayu sehingga hari ini?
PROF. MOHAMMED YACOB: Diskriminasi dilakukan oleh pemerintah membabitkan soal pelajaran dan ketenteraan selain soal keagamaan dikawal.
Saya pernah menghantar surat kepada Lee Kuan Yew meminta tolong bagi mengubah nasib orang Melayu tetapi tidak dilayan.
MINGGUAN: Apa nasihat Prof. kepada orang Melayu di Malaysia?
PROF. MOHAMMED YACOB: Orang Melayu… kalau kita bekerja, bekerjalah kerana Allah. Selain itu kita perlu berjihad, bekerja dengan ikhlas, jujur dan berintegriti. Kalau kerja tak ikhlas… orang tak suka. Selain itu kita mesti menjaga akhlak. Tegur dengan cara berhemah dan orang Melayu mesti sedia berubah.
SUMBER: AKHBAR MINGGUAN MALAYSIA.
May 15th, 2008
Kategori: Melayu Daripada Lin
Stacy AKADEMI FANTASIA juga tidak kurang hebatnya dalam menyampaikan lagu hebat ini…
Nota: Lin terpaksa cepatkan proses mengepos coretan di blog ni sebab Admin Lin asyik suruh Lin tulis sampai 10 pos secepat mungkin sebab beliau nak adjust semua RSS Feed di blog-blog beliau. Haru-biru betul Admin sorang ni.. 
May 7th, 2008
Kategori: Lagu Daripada Lin
Lagu berunsurkan patriotik daripada Dato’ Siti Nurhaliza Taruddin…
Sungguh menyayat hati bagi mereka yang tahu menghargai jasa dan pengorbanan pejuang kemerdekaan….
Janji hati suara cinta sakti
Cinta agung dari jiwa ternyala
Janji tanah lahir aku cintai
Aku rela sama membela
Pengorbanan jangan diluka
Khianat janji hilang jasa
Ku mencari hati mulia
Aku sanjung pencinta bangsa
Usah rajuk jauh hati rindu
Nafas lain haluan seketika
Aku rayu wira hati sayangku
Ini bukan mainan cinta
Pengorbanan jangan diluka
Khianat janji hilang jasa
Ku mencari hati mulia
Aku sanjung pencinta bangsa
Janji janji cinta
Pengorbanan jangan diluka
Khianat janji hilang jasa
Ku mencari hati mulia
Aku sanjung pencinta bangsa
Bila janji terlukis indah
Usah lagi kau buru cinta
Aku serahkan hati suara ku
Kini bebas hati bersatu
Ooo hati
May 7th, 2008
Kategori: Malaysia Daripada Lin
Kerap kali kita mendengar orang Malaysia menganggap Bahasa Indonesia tidak sama dengan Bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia. Jadi, orang Melayu Malaysia dinasihati supaya jangan terpengaruh dengan Bahasa Indonesia.
Jangan ikut cara atau gaya sebutan orang Indonesia, misalnya membunyikan fonem /a/ di akhir kata sebagai <a>, tidak sebagai <ê> seperti yang disebut oleh orang Melayu di Selatan Tanah Melayu, misalnya di Johor.
Orang Malaysia juga dinasihatkan untuk tidak meniru cara orang Indonesia “mencemarkan” bahasa mereka dengan menggunakan segala macam kata pinjaman daripada Bahasa Inggeris sewenang-wenangnya seperti portion menjadi porsi, position menjadi posisi, guarantee menjadi garansi dan beratus-ratus kata pinjaman yang lain.
Sebenarnya Bahasa Indonesia ialah Bahasa Melayu, bukan Bahasa Jawa, bukan Bahasa Acheh , bukan Bahasa Batak, bukan Bahasa Bugis dan bukan juga Bahasa Minangkabau. Apabila kita di Malaysia menonton filem Indonesia di TV Malaysia atau mendengar lagu Indonesia, kita faham bahasa yang digunakan dalam filem atau lagu mereka kerana bahasa yang digunakan ialah Bahasa Melayu.
Sistem atau peraturan tatabahasa Bahasa Indonesia ialah sistem tatabahasa Bahasa Melayu. Ayat-ayat dan kata-kata dalam Bahasa Indonesia dibentuk menurut hukum dan peraturan linguistik tatabahasa (nahu) Bahasa Melayu.
Tentang cara atau gaya sebutan kata Bahasa Indonesia, sebenarnya sebutan itu betul, tidak salah. Mereka menggunakan sebutan baku. Huruf <a>, <i>, <u>, dan <g>, bunyinya ialah [a] tidak [e], [i] tidak [ai], [u] tidak [yu] dan [g] tidak [j].
Orang Indonesia menyebut kata seperti “atom” sebagai [a-tom], tidak [e-tom], “identiti” sebagai [i-den-ti-ti], tidak [ai-den-ti-ti], “unit” sebagai [u-nit], tidak [yu-nit] dan “teknologi” sebagai [tek-no-lo-gi], tidak [tek-no-lo-ji].
Mereka tidak meniru bunyi atau sebutan Bahasa Inggeris. Ejaan Bahasa Inggeris sebenarnya tidak fonemik. Satu huruf boleh melambangkan dua, tiga macam fonem atau bunyi. Huruf “o” boleh dibunyikan sebagai [i], contohnya perkataan “women” (kata jamak) dibunyikan sebagai [wi-men].
Huruf /a/ di akhir kata yang dibunyikan [ê], misalnya pada kata saya, suka dan muka sebenarnya ialah variasi sebutan daerah. Di Utara Semenanjung Tanah Melayu, orang menyebut huruf /a/ ini sebagai [a]. Sebutan ini lebih baku daripada sebutan [ê].
Di Indonesia pun ada variasi atau kelainan sebutan ini. Orang Jawa menyebut huruf itu menurut sebutan baku, tetapi di Kepulauan Riau, di Sumatera, huruf ini dibunyikan sebagai [ê].
Tentang penggunaan kata-kata daripada Bahasa Inggeris yang nampaknya tidak terkawal, sebenarnya ada peraturan yang agak konsisten, misalnya mereka menggantikan bentuk “-tion” daripada Bahasa Inggeris kepada “-si” dalam Bahasa Indonesia.
Malaysia pun mempunyai kaedah yang konsisten, iaitu kita menyerap bentuk “-tion” dengan dua cara iaitu dengan menggunakan kaedah transkripsi iaitu “-syen” untuk “televisyen” dan “-si” untuk “organisasi”.
Kalau di Indonesia, terutama di Jakarta, bermacam-macam ragam Bahasa Indonesia digunakan sehingga kita sering menghadapi masalah untuk memahami percakapan seharian penduduk Jakarta, kita jangan lupa di Malaysia hal yang sama juga berlaku.
Kita dilanda masalah penggunaan “Bahasa Rojak” iaitu Bahasa Melayu yang bercampur baur dengan Bahasa Inggeris. Ini masalah budaya bahasa yang perlu kita selesaikan dengan bersungguh-sungguh supaya taraf Bahasa Melayu sebagai bahasa budaya tinggi tidak dimusnahkan.
Kita harus melihat Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sebagai bahasa yang sama seperti orang Inggeris melihat Bahasa Inggeris di Britain, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand sebagai bahasa yang satu walaupun terdapat bermacam-macam variasi atau kelainan ejaan dan sebutan di negara dan daerah setempat masing-masing.
Hal ini penting kerana kekuatan dan pengaruh Bahasa Melayu tidak terletak pada kepelbagaian ragam-ragam dialek negeri atau dialek daerah bahasa ini, tetapi pada darjat atau tarafnya sebagai bahasa ilmu, bahasa sains dan teknologi, bahasa kerajaan, bahasa perdagangan dan bahasa budaya tinggi di peringkat rantau ini.
Bahasa ini digunakan sebagai bahasa ilmu di peringkat institusi pengajian tinggi tidak sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh Indonesia yang mempunyai lebih 3000 buah institusi pengajian tinggi, dan yang menghasilkan ribuan buku ilmu tinggi setiap tahun.
Kita bersyukur kerana dalam sejarahnya, Bahasa Melayu berjaya berkembang dan merebak ke seluruh rantau ini, sehingga seorang pengembara dari Eropah mengibaratkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perancis di Asia Tenggara. Mereka yang memahami Bahasa Melayu tidak akan sesat di rantau ini.
Pada tahun 1945 pula, Sukarno dan rakan-rakannya tiada pilihan lain melainkan mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Republik Indonesia.
Hari ini Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang terbesar di dunia. Matlamat kerjasama kebahasaan antara Malaysia, Indonesia dan Brunei yang dimulakan sejak 1950-an, tiada lain adalah untuk mengekalkan sejarah budaya dan tamadun yang luar biasa ini, yang dibina dan disatukan oleh Bahasa Melayu.
Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia yang sejak tahun 1972 dan 1975 telah melahirkan dua pedoman bahasa yang penting bersama iaitu Pedoman Umum Ejaan dan Pedoman Umum Pembentukan Istilah, Dengan wujudnya dua pedoman ini, adalah diharap dapat merapatkan lagi Bahasa Melayu di Malaysia, di Indonesia dan di Brunei.
Persepsi kita tentang Bahasa Melayu biarlah luas, tidak sempit, tidak dikongkong oleh perasaan daerah, negeri atau negara.
Diubahsuai daripada artikel tulisan Datuk Dr. Hassan Ahmad, Bicara Karyawan , Klik DBP.
Nota: Disebabkan masalah pengekodan, simbol “ê” seperti yang ditulis di atas bukanlah simbol yang tepat, simbol yang tepat ialah simbol “e terbalik”.
May 5th, 2008
Kategori: Bahasa Daripada Lin
Haih, entahlah apa nak jadi dengan tempat tinggal Lin ni. Setiap sebulan sekali pasti ada kes paip air pecah.
Ada satu hari tu sampai pukul 3.00 pagi baru dapat dipulihkan.
Kalau tak ada elektrik tu boleh tahan lagilah tapi kalau ak ada air…. Haih, teruk sekali rasanya.
Tak boleh mandi, tak cukup untuk ambil air sembahyang dan paling teruk sekali tak cukup air untuk cuci *******
Apa-apa pun diharapkan pihak-pihak yang berwajib dapat mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membendung masalah ini daripada terus berleluasa.
April 21st, 2008
Kategori: Aduan Daripada Lin
Akhirnya dapat juga Linda memiliki blog sendiri setelah sekian lama menunggu kerana kesuntukan masa. Maklumlah Linda ni masih lagi seorang pelajar.
Sebenarnya Linda bercadang hendak menggunakan blog percuma di Wordpress.com atau di Blogger.com sahaja tetapi memandangkan sahabat baik Linda telah menawarkan blog di laman sesawang beliau sendiri iaitu di Malayablogs.com, Linda pun terus terima sahaja.
Sebenarnya beliau mahu Linda gunakan alamat blog Adifiransyah.com sahaja tetapi Linda rasa tak perlulah. Cukuplah dengan laman sesawang ini.
Selain itu Linda juga telah diberikan tanggungjawab untuk menguruskan dan mengawal laman sesawang Adi Firansyah.Com kerana Admin laman web ini terlalu sibuk buat masa sekarang. Maklumlah bakal pelajar universitilah katakan
Apa-apa pun Linda doakan beliau berjaya dalam apa jua yang beliau usahakan. Semoga segala usaha dan pengorbanan yang telah beliau lakukan selama ini dibalas dengan sebaik-baiknya oleh Allah yang esa.
Linda kenal beliau pun menerusi laman sesawang Adi Firansyah.Com yang diterajui beliau. Linda menggunakan nama samaran Lin Penang. Alhamdullillah laman sesawang ini telah pun berjaya berada dalam talian lebih kurang 6 bulan sekarang ini.
Di samping itu Linda juga ingin mengucapkan salam kenal kepada semua AHLI ADI FIRANSYAH.COM yang lain seperti Bedah 38, Shahlis dan lain-lain atas kerjasama anda selama ini.
Jika ada masalah-masalah yang berkaitan dengan laman sesawang Adi Firansyah.Com, silalah menghubungi Linda di “website @ adifiransyah . com”.
April 20th, 2008
Kategori: Coretan Daripada Lin