Antara Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia

May 5th, 2008 Kategori: Bahasa Daripada Lin

Utamakan Bahasa MelayuKerap kali kita mendengar orang Malaysia menganggap Bahasa Indonesia tidak sama dengan Bahasa Melayu yang digunakan di Malaysia. Jadi, orang Melayu Malaysia dinasihati supaya jangan terpengaruh dengan Bahasa Indonesia.

Jangan ikut cara atau gaya sebutan orang Indonesia, misalnya membunyikan fonem /a/ di akhir kata sebagai <a>, tidak sebagai <ê> seperti yang disebut oleh orang Melayu di Selatan Tanah Melayu, misalnya di Johor.

Orang Malaysia juga dinasihatkan untuk tidak meniru cara orang Indonesia “mencemarkan” bahasa mereka dengan menggunakan segala macam kata pinjaman daripada Bahasa Inggeris sewenang-wenangnya seperti portion menjadi porsi, position menjadi posisi, guarantee menjadi garansi dan beratus-ratus kata pinjaman yang lain.

Sebenarnya Bahasa Indonesia ialah Bahasa Melayu, bukan Bahasa Jawa, bukan Bahasa Acheh , bukan Bahasa Batak, bukan Bahasa Bugis dan bukan juga Bahasa Minangkabau. Apabila kita di Malaysia menonton filem Indonesia di TV Malaysia atau mendengar lagu Indonesia, kita faham bahasa yang digunakan dalam filem atau lagu mereka kerana bahasa yang digunakan ialah Bahasa Melayu.

Sistem atau peraturan tatabahasa Bahasa Indonesia ialah sistem tatabahasa Bahasa Melayu. Ayat-ayat dan kata-kata dalam Bahasa Indonesia dibentuk menurut hukum dan peraturan linguistik tatabahasa (nahu) Bahasa Melayu.

Tentang cara atau gaya sebutan kata Bahasa Indonesia, sebenarnya sebutan itu betul, tidak salah. Mereka menggunakan sebutan baku. Huruf <a>, <i>, <u>, dan <g>, bunyinya ialah [a] tidak [e], [i] tidak [ai], [u] tidak [yu] dan [g] tidak [j].

Orang Indonesia menyebut kata seperti “atom” sebagai [a-tom], tidak [e-tom], “identiti” sebagai [i-den-ti-ti], tidak [ai-den-ti-ti], “unit” sebagai [u-nit], tidak [yu-nit] dan “teknologi” sebagai [tek-no-lo-gi], tidak [tek-no-lo-ji].

Mereka tidak meniru bunyi atau sebutan Bahasa Inggeris. Ejaan Bahasa Inggeris sebenarnya tidak fonemik. Satu huruf boleh melambangkan dua, tiga macam fonem atau bunyi. Huruf “o” boleh dibunyikan sebagai [i], contohnya perkataan “women” (kata jamak) dibunyikan sebagai [wi-men].

Huruf /a/ di akhir kata yang dibunyikan [ê], misalnya pada kata saya, suka dan muka sebenarnya ialah variasi sebutan daerah. Di Utara Semenanjung Tanah Melayu, orang menyebut huruf /a/ ini sebagai [a]. Sebutan ini lebih baku daripada sebutan [ê].

Di Indonesia pun ada variasi atau kelainan sebutan ini. Orang Jawa menyebut huruf itu menurut sebutan baku, tetapi di Kepulauan Riau, di Sumatera, huruf ini dibunyikan sebagai [ê].

Tentang penggunaan kata-kata daripada Bahasa Inggeris yang nampaknya tidak terkawal, sebenarnya ada peraturan yang agak konsisten, misalnya mereka menggantikan bentuk “-tion” daripada Bahasa Inggeris kepada “-si” dalam Bahasa Indonesia.

Malaysia pun mempunyai kaedah yang konsisten, iaitu kita menyerap bentuk “-tion” dengan dua cara iaitu dengan menggunakan kaedah transkripsi iaitu “-syen” untuk “televisyen” dan “-si” untuk “organisasi”.

Kalau di Indonesia, terutama di Jakarta, bermacam-macam ragam Bahasa Indonesia digunakan sehingga kita sering menghadapi masalah untuk memahami percakapan seharian penduduk Jakarta, kita jangan lupa di Malaysia hal yang sama juga berlaku.

Kita dilanda masalah penggunaan “Bahasa Rojak” iaitu Bahasa Melayu yang bercampur baur dengan Bahasa Inggeris. Ini masalah budaya bahasa yang perlu kita selesaikan dengan bersungguh-sungguh supaya taraf Bahasa Melayu sebagai bahasa budaya tinggi tidak dimusnahkan.

Kita harus melihat Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia sebagai bahasa yang sama seperti orang Inggeris melihat Bahasa Inggeris di Britain, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand sebagai bahasa yang satu walaupun terdapat bermacam-macam variasi atau kelainan ejaan dan sebutan di negara dan daerah setempat masing-masing.

Hal ini penting kerana kekuatan dan pengaruh Bahasa Melayu tidak terletak pada kepelbagaian ragam-ragam dialek negeri atau dialek daerah bahasa ini, tetapi pada darjat atau tarafnya sebagai bahasa ilmu, bahasa sains dan teknologi, bahasa kerajaan, bahasa perdagangan dan bahasa budaya tinggi di peringkat rantau ini.

Bahasa ini digunakan sebagai bahasa ilmu di peringkat institusi pengajian tinggi tidak sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh Indonesia yang mempunyai lebih 3000 buah institusi pengajian tinggi, dan yang menghasilkan ribuan buku ilmu tinggi setiap tahun.

Kita bersyukur kerana dalam sejarahnya, Bahasa Melayu berjaya berkembang dan merebak ke seluruh rantau ini, sehingga seorang pengembara dari Eropah mengibaratkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Perancis di Asia Tenggara. Mereka yang memahami Bahasa Melayu tidak akan sesat di rantau ini.

Pada tahun 1945 pula, Sukarno dan rakan-rakannya tiada pilihan lain melainkan mengisytiharkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan Republik Indonesia.

Hari ini Bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan yang terbesar di dunia. Matlamat kerjasama kebahasaan antara Malaysia, Indonesia dan Brunei yang dimulakan sejak 1950-an, tiada lain adalah untuk mengekalkan sejarah budaya dan tamadun yang luar biasa ini, yang dibina dan disatukan oleh Bahasa Melayu.

Majlis Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia yang sejak tahun 1972 dan 1975 telah melahirkan dua pedoman bahasa yang penting bersama iaitu Pedoman Umum Ejaan dan Pedoman Umum Pembentukan Istilah, Dengan wujudnya dua pedoman ini, adalah diharap dapat merapatkan lagi Bahasa Melayu di Malaysia, di Indonesia dan di Brunei.

Persepsi kita tentang Bahasa Melayu biarlah luas, tidak sempit, tidak dikongkong oleh perasaan daerah, negeri atau negara.

Diubahsuai daripada artikel tulisan Datuk Dr. Hassan Ahmad, Bicara Karyawan , Klik DBP.

Nota: Disebabkan masalah pengekodan, simbol “ê” seperti yang ditulis di atas bukanlah simbol yang tepat, simbol yang tepat ialah simbol “e terbalik”.

Share/Save/Bookmark

Fail Pos Di Bawah Kategori: Bahasa

5 Komen Sila Tulis Komen.....

  • 1. Md Zain  |  May 6th, 2008 at 8:14 pm

    Terima kasih atas artikel ini.

  • 2. Lin  |  May 7th, 2008 at 7:06 pm

    Sama-sama

  • 3. Zonan  |  June 10th, 2008 at 2:46 pm

    cik kata kita kena anggap bahasa indonesia tu sama macam bahasa melayu. tapi masalahnya sekarang orang indonesia sendiri anggap tak bahasa diorg tu sama mcm bahasa malaysia? cik tengokla sendiri, sedangkan jalur gemilang kita pun dibakar dekat negara diorg sebab isu budaya. inikan pulak bahasa…

  • 4. sya_irsyah  |  July 4th, 2008 at 9:18 am

    kak Lin.
    Terima kasih atas artikel tersebut…
    sya setuju jugak dengan kata Zonan

  • 5. edoniceguy  |  July 26th, 2008 at 4:17 pm

    Apa betul bahasa Melayu bersumber dari Malaysia? Perlu penelitian yang ilmiah. Namun yang pasti Bahasa Melayu digunakan oleh Mayoritas di Malaysia. Kebalikan dengan di Indonesia bahasa Melayu digunakan oleh warga Indonesia suku/ rumpun Melayu, yang minoritas (karena mayoritas suku Jawa). Sehingga orang sering salah dalam mengambil kesimpulan bahwa bahasa melayu milik bangsa Malaysia.
    Walau bahasa Melayu digunakan oleh suku minoritas di Indonesia, namun jika kita bandingkan dengan jumlah mayoritas di Malaysia, maka lebih banyak suku Melayu Indonesia dibanding Melayu di Malaysia, tengoklah penduduk Sumatera dan Kalimantan serta beberapa di Sulawesi Selatan. Walau ada sedikit perbedaan yaitu dialek. Sedangkan bahasa Indonesia adalah perpaduan bahasa melayu, arab, inggeris, sanskerta, sedikit jawa. Tks, Salam buat semua.

Sila Tulis Komen.....

Diperlukan

Diperlukan

Sesetengah HTML Dibenarkan:
<a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

Jejaki Pos Ini (Trackback)  |  Langgan Komen Ini Melalui Suapan RSS (Feed)


Kalendar

May 2008
M T W T F S S
« Apr    
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

Arkib Simpanan Pos

Kategori

Pos-Pos Terkini

Komen-Komen Terkini

Pos-Pos Dikemaskini

Random Posts

RSS Adi Firansyah

RSS Malaysia Blog

RSS Afiq's Blog